Malaysia mahu pertingkat kerjasama pelancongan di bawah jejak ASEAN – Dato Sri Nancy Shukri

Spread the love

BANGKOK, 18 Ogos : Malaysia berminat untuk memajukan kerjasama dengan negara-negara jirannya di bawah “Jejak ASEAN” (ASEAN Trails), yang memberi peluang kepada pengembara melancong ke pelbagai negara ASEAN dalam satu perjalanan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata kerjasama itu penting dalam usaha untuk menarik pelancong jarak jauh bagi merancakkan kembali industri pelancongan dalam tempoh pasca COVID-19.

“Kami sedang meneliti bagaimana untuk mempromosikan laluan pelancongan dalam ASEAN dengan pelancong jarak jauh boleh melakukan perjalanan, contohnya, melalui darat dari Thailand ke Malaysia dan kemudian ke Singapura atau bahagian lain di ASEAN. Kami mahu dunia menikmati keindahan ASEAN.

“Kami mahu menjual ASEAN. Kami mahu berkongsi manfaat ekonomi melalui pelancongan di rantau ini terutamanya kerana terdapat lebih banyak produk dan perkhidmatan selepas COVID-19,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nancy berada di Bangkok untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Pelancongan APEC ke-11 dan Mesyuarat Berkaitan.

Terdahulu, beliau bertemu rakan sejawatannya Phiphat Ratchakitprakan dan membincangkan pelbagai perkara dan isu berkaitan pelancongan. Beliau juga bertemu wakil daripada Persatuan Ejen Pelancongan Thailand (TTAA).

Sementara itu, Nancy berkata Malaysia mungkin menyemak semula sasaran ketibaan pelancong pada September memandangkan industri pelancongan terus menunjukkan peningkatan.

“Kementerian mungkin menetapkan sasaran baharu untuk mencapai jumlah pelancong yang lebih tinggi apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan dan melonggarkan sekatan perjalanan.

“Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak kerjasama dan promosi untuk meningkatkan ketibaan pelancong,” katanya.

Pada Julai, Malaysia mengumumkan sasaran baharu untuk ketibaan pelancong antarabangsanya kerana ia telah melepasi sasaran awal dua juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan RM8.6 bilion dalam penerimaan pelancongan. Oleh itu, Malaysia menyemak semula sasarannya untuk menerima 4.5 juta pelancong antarabangsa dengan RM11.1 bilion hasil pelancongan tahun ini.

Beliau menambah bahawa Thailand adalah antara pasaran jarak dekat yang penting bagi Malaysia.

“Malaysia menetapkan sasaran untuk menarik 800,000 pelancong Thailand tahun ini,” katanya.

Pada 2019, Malaysia menyambut ketibaan 1,884,306 ketibaan dari Thailand, dan hampir 70 peratus pelancong Thailand adalah pengembara berulang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.