Latihan Maritim Malaysia bertukar jadi misi menyelamat

Spread the love

KUCHING, 18 Ogos : Rutin latihan penerbangan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kapar pagi tadi bertukar menjadi misi menyelamat apabila mereka mengesan lima pemancing yang terkandas Pulau Batu Berantai, pagi tadi ketika cuaca buruk.

Lebih mendebarkan, ketika misi menyelamat dilakukan oleh Maritim Malaysia, kesemua mangsa yang sedang berlindung di atas batu besar dipukul ombak yang membadai kawasan itu.

Ketua Stesen Udara Maritim Malaysia Subang, Kepten (M) Syed Islam Shahajam berkata, juruterbang pesawat AW139 yang digunakan dalam latihan itu menyedari lambaian meminta pertolongan daripada kumpulan pemancing berkenaan.

“Kesemua mereka diselamatkan oleh perenang penyelamat Maritim Malaysia yang membawa lima mangsa itu naik ke pesawat dengan menggunakan teknik winching pada pukul 10.25 pagi tadi,”katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di Subang hari ini.
Menurut Syed Islam, mangsa yang diselamatkan ialah Mohd. Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, Mohd. Razwan Hussin, 48, berasal dari Tanjung Karang dan Hamidi Rohani, 70, bersama Tohid Sangon, 65, dari Jeram, Selangor.
Katanya, kumpulan pemancing itu memberitahu, mereka telah terkandas di pulau itu selama 15 jam.

“Selepas diselamatkan, mereka diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) bagi mendapatkan rawatan perubatan kerana berada di dalam keadaan lemah dan trauma,”katanya.

Katanya, pada awalnya tiga pemancing dari Tanjung Karang dihantar oleh sebuah bot ke pulau itu pada pukul  7. 20 petang semalam dan sepatutnya pulang pagi tadi.

“Namun pada pukul 8. 30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa dan akhirnya tidak muncul kerana dipercayai terkandas akibat cuaca buruk,” katanya.

Katanya, barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit, jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak menyebabkan mereka tidak dapat meminta pertolongan.

Beliau memberitahu kesemua mangsa kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.