Kes rayuan SRC Najib bertukar dramatik, peguam bela mohon tarik diri

Spread the love

PUTRAJAYA, 18 Ogos : Pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertukar dramatik apabila peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Peguam itu berkata beliau memerlukan lebih banyak masa kerana beliau tidak bersedia untuk membawa kes itu.

Baca artikel berkaitan > > > Mahkamah Persekutuan dengar rayuan akhir kes SRC Najib

Hisyam yang dilantik Najib sebagai peguam utama baharunya pada 27 Julai, menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim pada hari pertama pendengaran rayuan Najib.

Hakim Tengku Maimun berkata sebagai peguam, Hisyam tidak boleh berundur diri sebaliknya memikul tanggungjawab itu untuk mewakili anak guamnya.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Hakim Tengku Maimun memberitahu Hisyam bahawa mahkamah telah mendengar permohonannya untuk penangguhan pada Selasa dan telah memberikan alasan mengapa mereka menolak permohonannya itu.

“Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?”.

“Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, anda akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh anda menerimanya?”, soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.

Hisyam menjawab beliau menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.

“… tetapi dalam keadaan ini saya tidak boleh terus mewakili Datuk Seri Najib,” katanya.

Hakim Tengku Maimun menjawab: “Tetapi kamu masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri. Kamu sepatutnya memfailkan afidavit dahulu. Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.

“Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia,” kata beliau sebelum menghentikan seketika prosiding itu untuk memutuskan perkara tersebut.

Mahkamah pada Selasa menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.

Mahkamah juga menolak usaha Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRCnya untuk membatalkan perbicaraan.

Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

– TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.