Kerjasama PRU15, semua ‘boleh’ kecuali PH – PAS

Spread the love

MELAKA, 18 Ogos :  PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama itu penting kerana PAS melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Kerana itu saya melihat bahawa perlunya ada kerjasama menyeluruh (antara PN dan BN) yang kami harapkan tetapi PAS bersedia, kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang telah diumum, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Melaka di Semabok di sini malam tadi.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipetik sebagai berkata PH berpotensi menang besar pada PRU15 ini berikutan terdapat 27 kerusi berisiko besar jatuh ke tangan PH jika tiada perpaduan antara BN dan PN.

Mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara prinsipnya PAS akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.

“Tentang logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tapi ini perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan parti,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.