Kadar suntikan dos penggalak kedua COVID-19 Sarawak ‘mengecewakan’ – Dr. Sim

Spread the love

KUCHING, 18 Ogos : Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian kecewa berikutan peratusan yang mengambil suntikan dos penggalak kedua di Sarawak masih rendah.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sikap masyarakat yang tidak memanfaatkan sepenuhnya inisiatif vaksinasi percuma yang diusahakan oleh kerajaan boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan orang awam.

“Kerajaan tidak akan membelanjakan wang sekiranya tidak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal sempena Kuching Festival Food Fair (KFF) 2022 di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat Sarawak agar kekal berwaspada meskipun berada fasa peralihan ke endemik.

Jelasnya, segala nasihat yang diberikan adalah berdasarkan pandangan pakar kesihatan dan untuk kebaikan bersama.

“Masyarakat perlu sedar bahawa COVID-19 ialah satu wabak penyakit.

“Jadi kita perlu hidup dengannya dan terus mendapatkan perkhidmatan kesihatan seperti yang disarankan,” katanya.

Sebelum ini, Sarawak mencapai kadar vaksinasi 85.8 peratus daripada keseluruhan populasi dengan sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19 bagi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.