Jangkitan ASF di Kapit dan Limbang terkawal – Dr Stephen Rundi

Spread the love

KUCHING, 18 Ogos : Strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak setakat ini berjaya mengawal penularan demam babi Afrika (ASF) di Kapit dan Limbang.

Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Anak Utom berkata, antara tindakan diambil termasuklah mengadakan kempen kesedaran awam dan pengesan yang aktif.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut mengisytiharkan Kawasan Kawalan ASF di bawah Seksyen 35 (1) (b) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Sehingga hari ini, kes ASF dilaporkan di beberapa Bahagian di Sarawak iaitu melibatkan backyard farm di kampung dan Rumah Panjang selain ladang komersial.

“Aktiviti memburu babi hutan berdekatan sempadan dan biosekuriti ladang penternak yang lemah adalah punca utama berlakunya jangkitan,” katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan juga telah menyalurkan bantuan kepada penternak babi di Lawas, Limbang dan Miri yang terjejas akibat ASF.

“Pada tahun lepas, sebanyak RM 497,000 telah dibayar sebagai pampasan akibat ternakan yang dilupuskan untuk kawalan dan pembasmian penyakit ASF,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat 16 Ogos 2022, sebanyak 32,204 ekor babi telah dilupuskan.

Katanya, strategi yang diperkenalkan ini telah berjaya mengawal menyakit berkenaan di Limbang dan Kapit apabila tiada kes baharu dilaporkan.

“Walau bagaimanapun penyakit ini dikesan di  Serian dan Kuching dan keduanya telah diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit ASF pada 14 Jun 2022,” katanya.

Sehubungan itu, Stephen Rundi menasihatkan kesemua penternak babi di Sarawak supaya terus berwaspada dan meningkatkan serta mengetatkan bio-sekuriti ladang masing-masing.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana penyakit ini tidak zoonatik yang bermaksud ianya hanya akan menjangkiti ternakan babi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.