Awang Tengah beri taklimat kepada Perdana Menteri mengenai projek Sarawak dengan negara jiran

Spread the love

KUCHING, 18 Ogos : Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan projek mega yang akan dilaksanakan oleh Sarawak dengan negara – negara jiran.

Menerusi kenyataan media, Awang Tengah berkata, kunjungan ke Perdana Putra itu bagi memberi taklimat kepada Perdana Menteri berhubung perniagaan Sarawak di ASEAN dalam Sektor Tenaga Diperbaharui.

“Antara perkara dibincang ialah peranan Sarawak bagi memenuhi komitmen Malaysia dalam Perjanjian Grid Kuasa Asean yang ditandatangani pada 2007.

“Pertemuan  turut menyaksikan pembentangan projek yang dirancang oleh Sarawak dalam sektor tenaga bersama negara ASEAN seperti Singapura dan Indonesia,”katanya.

Turut menyertai delegasi Awang Tengah ke Putrajaya ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Dr Mohammed Abdullah Zaidel.

Sementara itu, pada pertemuan itu, Awang Tengah berkata, Sarawak memohon sokongan Perdana Menteri untuk membawa projek – projek berkenaan ke perbincangan membabitkan Kerajaan Persekutuan dengan Indonesia dan Singapura. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.