Anak buruh binaan hidap masalah mata malas cemerlang STPM

Spread the love
BUKIT MERTAJAM, 18 Ogos : Anak seorang buruh binaan yang mempunyai masalah mata membuktikan dia mampu berjaya biarpun berdepan cabaran semasa belajar apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di sini, Ho Hua Ze, 20, memperoleh keputusan A dalam subjek Matematik, Fizik dan Kimia selain A- untuk subjek Pengajian Am dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.
Hua Ze yang mempunyai masalah ambliopia atau mata malas berkata, dia enggan menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan untuk tidak belajar, bahkan menjadikannya sebagai cabaran untuk menaikkan semangat.
“Saya tidak seperti kawan-kawan lain kerana sukar melihat papan putih semasa di dalam kelas walaupun duduk di depan.
“Bagaimanapun kawan-kawan banyak membantu selain saya cuba meletakkan diri saya seperti rakan-rakan lain yang normal pada setiap masa,” katanya yang bercita-cita bergelar seorang guru ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambah anak sulung daripada dua beradik itu, dia lebih selesa menjalani Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) semasa pandemik COVID-19 melanda negara kerana lebih jelas melihat  paparan pada skrin komputer semasa kelas secara dalam talian.
Sementara itu, pasangan kembar seiras, Yeap Kai Wen dan Yeap Kai Wei, 20, berkata, mereka saling memberi semangat antara satu sama lain sehingga memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan tersebut.
“Semasa menjalani PdPR kami tidak terlalu bosan belajar di rumah kerana ada teman yang boleh saling mengurangkan tekanan belajar.
“Bagaimanapun kami akan ‘berpisah’ kerana saya akan menyambung pengajian di Univerisiti Teknologi Nanyang di Singapura dalam bidang kejuruteraan kimia dan biomolekul, manakala Kai Wei memilih bidang perubatan di universiti dalam negara,” ujar Kai Wen.
SMJK Jit Sin dinobatkan sebagai sekolah terbaik STPM 2021 di Pulau Pinang apabila 143 calon memperoleh kelulusan 100 peratus dengan 18 calon memperoleh PNGK 4.0 – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.