4A STPM untuk ibu bapa saya – Alexander Luna

Spread the love

MUKAH 18 Ogos : Alexander Luna Saging malam tadi mengaku dia sangat berdebar dan sukar melelapkan mata.

Kerisauan utama bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers ini ialah tidak lain dan tidak bukan kerana hari ini dia akan menerima ‘slip penting’ dalam hidupnya.

Yang dimaksudkan ialah keputusan Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) tahun lepas yang akan diumumkan.

Sebaik sahaja membuka slip berkenaan, hanya kesyukuran yang mampu diluahkan oleh remaja berusia 20 tahun itu kerana dia berjaya mencapai keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.

“Keputusan ini sangat berbaloi apabila mengenangkan segala kepayahan yang telah saya tempuhi termasuk berjauhan dengan keluarga kerana tinggal di asrama,”katanya kepada TVS.

Anak kepada buruh dan pekerja kilang ini mendapat keputusan A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Sejarah serta A – untuk Geografi.

Mengimbau kembali persediaannya untuk menghadapi peperiksaan itu, Alexander Luna berkata, dia merupakan ‘batch’ STPM yang terkesan kerana terpaksa berhadapan dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

“Keluarga saya tinggal di Rumah Budin Sungai Duan Balingian yang terletak jauh di kawasan pedalaman. Sewaktu belajar di rumah, saya sering berdepan masalah capaian internet yang lemah sehingga menyukarkan untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Oleh itu, keputusan untuk tinggal di asrama memudahkan pembelajaran walaupun saya merupakan pelajar lelaki tunggal yang tinggal di asrama sekolah,” katanya.

Alexander Luna yang bercita – cita menjadi guru berkata, ini merupakan kali pertama dia bergelar pelajar cemerlang.

“Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ialah 2 A sahaja manakala ketika Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)  saya mendapat 4A.

“Ketika SPM saya mengambil jurusan sains dan agak sukar, jadi selepas membuat keputusan untuk masuk Tingkatan Enam, saya berazam untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik kerana ingin meneruskan pengajiran ke universiti,”katanya.

Alexander yang ingin memohon memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia terhutang budi kepada kedua orang tuanya, guru -guru sekolah dan rakannya yang banyak membantu.

“Kepada adik-adik yang bakal mengambil peperiksaan penting, nasihat saya , jangan mudah berputus asa, berusaha selagi mampu,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.