Tiga lelaki bergaduh depan restoran didenda RM1,000

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos : Tiga lelaki yang terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di pekarangan sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng, Perai dekat sini baru-baru ini masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkama Majistret di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan sebelum hukuman berkenaan dijatuhkan.

Kata Cheng San, pihaknya sebelum itu menahan 15 lelaki warga tempatan berusia antara 20-an hingga 30-an yang disyaki terlibat dalam kekecohan yang berlaku kira- kira jam 3.30 pagi pada 7 Ogos lalu.

“12 tangkapan telah dibebaskan dan tiada pertuduhan kerana mereka didapati tidak terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan untuk mengesan beberapa suspek yang didapati masih bebas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Cheng San lagi, pada 10 Ogos lalu, pihaknya mengesan empat video berdurasi beberapa saat yang dimuat naik ke laman sosial Facebook berhubung insiden tersebut.

“Video berdurasi lapan, 17, 22 dan 23 saat itu memaparkan sekumpulan individu bergaduh di hadapan sebuah restoran nasi kandar.

“Hasil semakan terhadap video-video berkenaan, disyaki pergaduhan itu dilakukan sekumpulan lelaki yang menggunakan beberapa objek sebagai senjata untuk menyerang antara satu sama lain,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.