‘Ronda’ Pulau Pinang untuk seleweng minyak diesel

Spread the love

NIBONG TEBAL, 17 Ogos : Taktik satu sindiket menyeleweng minyak diesel yang membuat pembelian di beberapa stesen minyak di negeri ini berjaya dibongkarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang semalam.

Menerusi operasi kira-kira pukul 7 pagi, anggota penguatkuasa KPDNHEP menahan anggota sindiket berkenaan yang sedang leka memindahkan minyak diesel yang dibeli dari lori bounded tujuh tan ke lori tanker.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, pada operasi itu pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu bagi kedua-dua lori terbabit.

“Terdapat sebuah tangki berkapasiti 17,000 liter di atas lori tanker manakala terdapat enam tangki fiber yang diubahsuai dengan setiap satu berkapasiti 1,000 liter di atas lori bounded.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 16,000 liter minyak diesel berada di dalam tangki lori tanker dan kira-kira 1,200 l lagi ditemui bersama lori bounded,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya turut menyita lori berkenaan bersama sebuah mesin motor pam dan dua unit hos paip yang keseluruhannya bernilai RM148,800.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit dipercayai telah membuat pembelian minyak diesel di beberapa stesen minyak di negeri ini sebelum dipindahkan dari lori bounded ke lori tanker,” katanya.

Menurut Mogan, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.