Prospek pembinaan di Sarawak kekal cerah – MIDF Research

Spread the love

KUCHING, 17 Ogos : Prospek pembinaan di Sarawak kekal cerah berikutan dasar kerajaan negeri yang komited untuk menggerakkan semula projek yang ditangguhkan pada 2018 berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, tender untuk Jalan Trunk Kedua yang dibiayai kerajaan menjangkau 225 kilometer (km) dijangka dikeluarkan tahun ini dengan tujuh pakej kerja manakala tujuh pakej lagi pada tahun hadapan dengan keseluruhan kos projek dijangka mencecah RM5.84 bilion.

Turut wajar diperhatikan menurut firma itu termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dengan komitmen kerajaan negeri berjumlah RM63 bilion menerusi pelbagai usaha antaranya membangunkan infrastruktur asas seperti jalan dan jambatan, bekalan air dan elektrik serta rangkaian telekomunikasi.

“Pada Jun lalu, kerajaan negeri juga memaklumkan kira-kira 7,530 km jalan baharu perlu dibina bagi menghubungkan kawasan luar bandar manakala 3,478 km jalan akan dinaikkan taraf.

“Ini akan menyaksikan aliran kerja yang lebih kukuh dalam tempoh jangka masa panjang,” kata MIDF Research menerusi nota nota kajian yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, kerajaan negeri mengunjurkan pelaburan sebanyak RM100 bilion akan disuntik dalam ekonomi menjelang 2030 dalam usaha untuk memartabatkan Sarawak kepada status ekonomi maju.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM64 bilion adalah menerusi bajet tahunan negeri manakala syarikat pembangunan tenaga negeri, Sarawak Energy dijangka menyumbang kira-kira RM40 bilion sehingga 2026.

Antara pelaburan lain yang akan menyumbang ‘beberapa bilion ringgit’ adalah menerusi pelaburan Sumitomo dan Samsung bagi loji hidrogen pertama Sarawak, yang dijangka memulakan pembinaan tahun ini.

Sehubungan itu, MIDF Research berpendapat lebih banyak kerja-kerja infrastruktur akan dilancarkan termasuklah tumpuan kerajaan negeri terhadap projek yang tertangguh atau terbiar.

Kata firma itu lagi, ketika ini terdapat 84 projek ‘sakit’ yang dikenal pasti di Sarawak dan antara tindakan yang diambil bagi menangani isu berkenaan ialah dengan melantik kontraktor penyelamat.

“Ini kemungkinan akan menyaksikan lebih banyak projek akan dibentangkan semula, sekali gus membuka peluang yang baik untuk pemain industri pembinaan menambah nilai kontrak,” jelasnya.

Firma itu juga menyambut baik usaha kerajaan negeri yang kini sedang memuktamadkan bantuan bagi membantu pemain industri dengan tumpuan diberikan kepada harga bahan mentah.

“Walaupun ini bukan masalah besar bagi kebanyakan syarikat di bawah liputan kami, tetapi ini adalah langkah yang amat dialu-alukan untuk industri dalam mengurangkan risiko penurunan,” katanya.

Berdasarkan kepada perkembangan yang menggalakkan di Sarawak, MIDF Research mengulangi pandangan ‘positif’ terhadap sektor pembinaan dengan saham pilihan utamanya ialah Cahya Mata Sarawak Bhd. dan KKB Engineering Bhd. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.