Malaysia raih pelaburan digital RM7.2 bilion separuh pertama 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 Ogos : Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah berjaya menarik lebih RM7.2 bilion pelaburan pada separuh pertama 2022, selain pelaburan RM10.94 bilion pada 2021, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM18.14 bilion.

Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata pelaburan itu terdiri daripada pelaburan digital langsung asing dan pelaburan digital langsung domestik yang dijangka mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan.

“Pencapaian berkenaan telah membuktikan negara kita berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya pada sidang media di Putrajaya yang turut disiarkan secara maya hari ini.

Pelaburan digital itu diperoleh daripada 53 syarikat yang berkembang pesat dan terkemuka dalam industri dari pelbagai negara termasuk Australia, China, Jepun, Singapura, Switzerland, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata usaha untuk menarik pelabur adalah sebahagian daripada usaha nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital di ASEAN serta membantu mempercepat pemulihan ekonomi berikutan kesan pandemik COVID-19.

“Pelaburan digital amat penting dalam proses pemulihan ekonomi kerana ia akan mewujudkan pekerjaan berpengetahuan tinggi dan membantu mempercepat inovasi serta adaptasi teknologi dalam Revolusi Perindustrian Keempat, seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.