Guru disyaki rogol pelajar di Bintulu masih hilang, gaji ditahan – Fatimah

Spread the love

KUCHING, 17 Ogos : Seorang guru yang disyaki sebagai suspek utama kes rogol melibatkan dua pelajar perempuan di Bintulu, bulan lepas masih gagal dikesan oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia dapat melakukan siasatan terperinci untuk mengesan suspek dan seterusnya membawa ke muka pengadilan.

Pada masa sama, Fatimah turut menggesa supaya siasatan yang dilakukan tidak terhad kepada Seksyen 376 Kanun Keseksaan sahaja sebaliknya berdasarkan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK).

“Ketika ini saya difahamkan gaji suspek sudah ditahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana tidak hadir bertugas.

“Selain itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sebauh telah menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,”katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Baca berita berkaitan >>>>> Polis Bintulu buru Tengku Nasrul disyaki terlibat kes rogol

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit  mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Hadi di talian 019-3517155.

Suspek dikenali sebagai Tengku Nasrul Haizal Mohd. Nasir berasal dari Tumpat, Kelantan.

Berhubung keadaan dua mangsa, Fatimah memaklumkan, kementeriannya sudah memberi bantuan melibatkan sesi kaunseling kepada mangsa dan keluarga.

“Pada awalnya, mangsa didapati berada dalam keadaan trauma dan malu namun setelah menjalani sesi kaunseling, keadaan mereka kini beransur pulih dan sudah boleh hadir ke sekolah

“Proses kaunseling masih berterusan,”jelasnya.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, pihaknya merancang untuk menganjurkan program meningkatkan kesedaran berkenaan ‘child grooming’ di kalangan kanak-kanak.

Katanya, program itu akan dilaksanakan mengikut kesesuaian umur dan menyentuh taktik yang sering digunakan pelaku terhadap mangsa – mangsa mereka.

“Kita juga akan mengajar kanak – kanak dan remaja tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya mereka berdepan situasi berkenaan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.