“Sudah lama saya mahu keluar PSB, sedia ‘lihat’ notis perundangan oleh bekas parti,” – Chee How

Spread the love

KUCHING, 16 Ogos : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How menjelaskan beliau sudah lama ingin keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Chee How berkata, keputusannya itu tidak berkaitan dengan peruntukan undang – undang melarang wakil rakyat bertukar parti seperti yang diluluskan di Parlimen baru – baru ini.

Sehubungan itu katanya, beliau kini merupakan wakil rakyat bebas dan tidak mahu dikaitkan dengan mana – mana parti.

“Sekiranya PSB hantar surat berkaitan perundangan, pihak saya akan menelitinya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan >>>> ADUN Batu Lintang keluar PSB

Pada Ahad lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan, beliau menerima surat daripada Chee How pada 12 Ogos lepas yang memaklumkan meletak jawatan daripada partinya dan menjadi ahli bebas dalam DUN Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak lepas, Chee How menang kerusi DUN berkenaan setelah menerima 4,420 undi sekaligus menewaskan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sih Hua Tong yang mendapat 4,327 undi.

Tiga lagi calon iaitu Voon Lee Shan (Parti Bumi Kenyalang), Leong Shaow Tung (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) dan Cherishe Ng (Parti Keadilan Rakyat) turut tewas.

Sementara itu, Chee How berkata, beliau akan fokus untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik di kawasannya.

“Semua orang mahu menyumbang. Bagi saya semasa tempoh pandemik COVID-19 saya telah melakukan yang terbaik memberi perkhidmatan,” katanya.

Kepada soalan sama ada dia ingin menubuhkan parti baharu atau menyertai parti lain,Chee How berkata, perkara itu tidak ada dalam perancangannya ketika ini.

Susulan tindakan Chee How, kerusi pembangkang di DUN Sarawak kini terdiri daripada tiga (PSB) dan dua DAP. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.