Sarawak bakal umum bantuan harga bahan binaan

Spread the love

KUCHING, 16 Ogos : Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan langkah untuk membantu sektor pembinaan di negeri ini yang terbeban dengan isu kenaikan kos bahan mentah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya kini sedang membincangkan perlaksanaan inisiatif berkenaan dengan Setiausaha Kewangan Negeri.

Ujar Abang Johari, langkah berkenaan bertujuan untuk menyelesaikan masalah projek sakit yang berlaku dihadapi Sarawak.

“Bantuan yang akan diumumkan membabitkan penetapan harga bahan binaan tidak lama lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.

Pada majlis berkenaan, Sarawak Energy diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datu Sharbini Suhaili  manakala CIDB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Menurut Abang Johari, selepas perlaksanaan inisiatif bantuan berkenaan kelak, sektor pembinaan di Sarawak dijangka akan lebih rancak sehingga 2030.

Pada Julai lalu, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa dan termasuk bar keluli bagi kategori bangunan di Sarawak meningkat antara 6.0 dan 23.3 peratus.

Bahan-bahan binaan lain seperti simen, papan lapis, kaca dan batu bata turut mencatatkan peningkatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.