Lagi lombong kripto di Sibu digempur polis

Spread the love

SIBU, 16 Ogos : Satu lagi kegiatan perlombongan bitcoin di bandar ini berjaya ditumpaskan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Lorong Teku 16a di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, lubok bitcoin terbaharu itu merupakan yang ketiga dikesan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Unit Perlindungan Hasil Sesco pada pukul 1.35 petang.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan serbuan mendapati rumah itu tidak berpenghuni.

“Polis terpaksa memotong pengunci pintu pagar dan mengumpil pintu depan rumah setelah tiada penghuni yang keluar selepas 10 minit,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya hasil pemeriksaan menemui sebanyak 36 unit mesin kripto di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Kesemua mesin kripto yang dianggarkan bernilai RM37,000 itu telah dirampas.

“Berdasarkan anggaran pula, kegiatan penyambungan elektrik secara haram di premis itu mengakibatkan kerugian berjumlah RM393,085 kepada Sesco,”katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan. -TVS

Terdahulu, sebanyak 44 mesin lombong bitcoin dirampas dalam serbuan di dua premis kediaman di Jalan Serai dan Lorong Setia 3 dalam operasi selama dua hari berturut-turut pada 10 dan 11 Ogos lalu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.