Kaki palsu percuma untuk 114 individu kurang bernasib baik

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Ogos :  Pengendali takaful terkemuka negara Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) memperuntukkan RM400,000 untuk membantu 114 penerima baharu kaki palsu percuma menerusi program  “Mobility is Life 2022”.

Program ini yang merupakan inisiatif sayap kebajikan PruBSN, PruBSN Prihatin dan rakan kongsinya   Kedidi Global Enterprise (Kedidi) menyasarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang telah diamputasi menjalani kehidupan yang produktif dan berdikari secara sepenuhnya.

Presiden PruBSN Prihatin dan Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN  Datin Seri Azlin Arshad berkata kaki palsu adalah mahal dan bagi golongan kurang berkemampuan di Malaysia keutamaan mereka adalah perbelanjaan harian dan agak mustahil untuk mereka mendapatkan kaki palsu.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi golongan kurang upaya dan mereka yang diamputasi dalam menjalani kehidupan seharian mereka terutamanya dari segi pergerakan. Selain daripada itu, kami turut memahami tekanan emosi serta halangan yang dihadapi mereka.

Kami berharap ia akan meringankan bebanan di bahu mereka dengan memberikan mereka satu penyelesaian untuk memudahkan mereka bergerak ke hadapan dalam kehidupan. Ringkasnya, kami mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk hidup dengan penuh keyakinan dan menikmati ketenangan minda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak dilancarkan pada 2018, program  “Mobility is Life” telah berjaya membantu 412 orang yang telah diamputasi di seluruh Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai, program “Mobility is Life 2022”  orang ramai boleh melayari https://www.prubsn.com.my/en/caring-for-society/mobility-is-life/. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.