Ikon Hari Kebangsaan di Sarawak meninggal dunia

Spread the love

KUCHING, 16 Ogos : Warga emas yang dianggap ikon Hari Kebangsaan di Sarawak, Azhari Hamdan, 65, meninggal dunia di rumahnya di Kampung No.5 , Jalan Kulas Utara 1, di sini hari ini.

Berita kematian itu disahkan oleh anak saudaranya, Nafri Jamali ketika dihubungi oleh TVS.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, keadaan kesihatan arwah bapa saudaranya itu tidak begitu baik.

“Kira – kira pukul 2 petang tadi, arwah mengalami muntah dan terus tidak sedarkan diri,”katanya.

Difahamkan, Azhari menghidap penyakit darah tinggi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang petang tadi.

TVS pada 6 Ogos lepas pernah menyiarkan rencana bergambar mengenai Azhari yang sangat bersemangat setiap kali tiba sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Arwah akan menghias kenderaan miliknya dengan bendera selain memakai pakaian khas yang beridentitikan bendera Malaysia bagi menunjukkan sikap patriotik kepada negara dan negeri ini.

Memetik kata – katanya ketika temu bual itu, Azhari berkata, apa yang dilakukan ialah kerana ingin menunjukkan semangat cintakan Malaysia dan Sarawak.

“Saya berharap generasi muda akan menghargai hari yang penting ini dan mereka dapat meneruskan tradisi yang saya mulakan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.