30 peratus premis di seluruh negara tidak selamat?

Spread the love

GEORGE TOWN, 16 Ogos : Kira-kira 30 peratus daripada 8,300 premis di seluruh negara termasuk bangunan kerajaan disahkan tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, angka berkenaan diperolehi selepas pemeriksaan terhadap premis terbabit yang diperuntukkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).

Katanya, ia membabitkan permohonan yang belum diluluskan, dalam proses pematuhan atau gagal memenuhi kehendak kebombaan mengikut akta tersebut.

Menurutnya, antara aspek yang tidak dipatuhi pemilik premis adalah tiada penyelenggaran tetap, pengubahsuaian tidak mengikut peraturan dan gagal memenuhi keperluan teknikal.

“Ada dalam kalangan pemilik premis sedang dalam proses pendakwaan dan ada yang sudah didakwa, namun ia bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya memastikan bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

“Kita tidak mahu aspek keselamatan terabai yang boleh meragut nyawa penghuni atau pengunjung premis selain kehilangan nilai aset yang tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 JBPM Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Pada majlis itu, seramai 64 orang pegawai dan kakitangan JBPM menerima sijil APC 2021.

Dalam perkembangan berbeza, Hamdan turut memuji langkah kerajaan dalam meningkatkan sistem keselamatan kebakaran membabitkan 46 hospital awam di seluruh negara.

“Pihak Kementerian Kesihatan bersama Jabatan Kerja Raya dan agensi teknikal lain mengambil langkah untuk menaiktaraf sistem bagi mematuhi keperluan keselamatan kebakaran di hospital awam.

“Saya lihat ini satu gerakan yang amat baik kerana kita nak pastikan pengguna, penghuni, pesakit dan pelawat hospital selamat,” ujar beliau. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.