Penyelidikan USM bantu penternak madu kelulut di Sarawak tambah hasil

Spread the love

GEORGE TOWN, 15 Ogos : Beberapa pengusaha madu kelulut di Sarawak memperoleh manfaat daripada penyelidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini menerusi inovasi rekaan log sarang kelulut yang lebih praktikal dan menguntungkan.

Inovasi pada reka bentuk dan ketahanan log yang dinamakan Mustafa-Hive hasil kelolaan penyelidik, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa itu dapat mengurangkan kos penternakan dan menambah hasil pengeluaran madu kelulut.

Seorang penternak dari Kampung Alit, Kabong di Sarawak, Abang Joret Abang Narudin berkata, penyertaannya dalam projek penternakan kelulut menggunakan transformasi berkenaan telah mengurangkan kebergantungannya terhadap log sarang lama.

Katanya, ia berikutan kesukaran untuk memperoleh log tradisional dari negara jiran berikutan sekatan akibat pandemik COVID-19.

“Ini kerana semua penternak perlu bersaing sesama sendiri, menunggu dalam tempoh yang agak lama dan mengeluarkan modal besar untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebongkah log sarang kelulut dari pembekal.

“Tetapi kini, kami mampu menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu berebut dan khuatir soal bekalan log sarang yang sentiasa tidak menentu itu,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Ujar Abang Joret, sebelum ini, sebuah log sarang import berharga sekitar RM50 hingga RM100, tetapi boleh mencecah hingga RM400 ketika ini tanpa sebarang jaminan kualiti.

“Justeru, inovasi Mustafa-Hive telah mengurangkan kebergantungan para penternak terhadap log sarang lama yang semakin kurang relevan untuk digunakan sekarang,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penternak, Sabeli Kawi berkata, kebergantungan kepada log biasa mendedahkan penternak kepada penipuan kerana terdapat kes log sarang dibeli pada harga RM250, namun tidak memiliki induk yang mencukupi dan hanya bertahan kurang tiga bulan sebelum koloninya mati.

“Agak sukar untuk penternak mengesahkan sama ada log sarang (import) yang dibekalkan ini mempunyai induk yang mencukupi kerana keadaan koloni di dalamnya tidak dapat dipantau.

“Kes penipuan seperti ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada penternak kerana pembelian log sarang tambahan merupakan satu pelaburan yang agak besar,” katanya yang gembira untuk beralih kepada penggunaan log inovasi baharu itu.

Log Mustafa-Hive direka untuk menternak lebah kelulut dalam skala besar menerusi proses penggandaan berbanding log biasa yang memerlukan bongkah tambahan yang memerlukan kos tambahan.

Sehingga kini, inovasi berkenaan telah diperluas ke dalam komuniti di Sarawak menerusi program Innovation for Community (INNO4C) Sarawak 2019 oleh USM dengan mandat daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.