Nenek hilang lima hari dalam hutan ditemui selamat bersama secekak lidi

Spread the love

KUCHING, 15 Ogos : Wanita warga emas yang dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran rumahnya sejak 10 Ogos di Batu Pahat, Johor, ditemui selamat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner (ACP) Ismail Dollah berkata, Painah Siwan, 79, ditemui dalam keadaan lemah berhampiran lopak air di kawasan kebun di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, kira-kira 11.25 pagi tadi.

Katanya, wanita itu ditemui pada jarak 900 meter dari pos kawalan operasi dan kira – kira 1.4 kilometer (km) dari rumahnya.

“Ketika dijumpai, turut bersamanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ismail memberitahu, warga emas itu dijumpai oleh dua orang awam yang turut bersama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai oleh 102 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta 20 orang kampung.

Kehilangan Painah telah menimbulkan pelbagai persoalan kerana jarak tempat yang dituju terletak hanya kira-kira 700 meter dari rumah mereka.

Susulan kehilangannya, SAR digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.