STB promosi Sarawak sebagai destinasi pelancongan makanan di Singapura

Spread the love

KUCHING, 14 Ogos : Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sedang giat mempromosikan Sarawak dalam kalangan pelancong Singapura sebagai destinasi pelancongan makanan.

STB berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dari Singapura ke Sarawak pasca pandemik melalui penyertaannya di National Association of Travel Agents Singapore (NATAS) Holidays Fair Edisi Ke-56 di Dewan Ekspo Singapura 5 di gerai 5H01 dari 12 hingga 14 Ogos.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB bagi Komunikasi Pemasaran Bersepadu, Suriya Charles Buas, berkata memandangkan kini terdapat tanda-tanda pemulihan dalam perjalanan antarabangsa, ia adalah peluang yang sesuai bagi Sarawak dan pihak berkepentingan pelancongan Singapura untuk melihat semula usaha mereka dalam meningkatkan Sarawak sebagai destinasi pilihan pelancong.

“Disebabkan makanan menjadi salah satu tonggak pelancongan Sarawak, dan Kuching menjadi bandar raya pertama di Malaysia dinobatkan sebagai ‘Bandar Kreatif Gastronomi’ oleh UNESCO, kami merancang untuk mengadakan kempen bersama pihak berkepentingan pelancongan Singapura, yang khusus menyasari penggemar makanan Singapura untuk menikmati kepelbagaian gastronomi Sarawak,” beliau memaklumkan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

STB juga melibatkan diri dengan kira-kira 20 ahli berdaftar NATAS dalam Sesi Rangkaian Perniagaan (B2B) untuk berkongsi idea mengenai trend pelancongan semasa di Sarawak dan Singapura, dan bagaimana STB boleh membantu pemain pelancongan Singapura membina kesedaran tentang produk dan destinasi Sarawak.

“Kami juga akan bertemu dengan sekumpulan ‘key opinion leaders’ (KOL) dari Singapura untuk bekerjasama dengan mereka dan meningkatkan kesedaran dan minat dalam kalangan masyarakat Singapura menerusi hantaran mereka tentang Sarawak,” tambahnya.

Pengunjung Singapura yang mencari tempat pelancongan yang unik dialu-alukan untuk mengunjungi gerai STB di NATAS Holidays Fair dan mendapatkan maklumat tentang tawaran pelancongan menarik daripada agensi-agensi yang mengambil bahagian. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.