Sarawak mempunyai kemudahan dan ‘venue’ penganjuran sukan bertaraf antarabangsa

Spread the love

KUCHING, 14 OGOS: Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan sukan yang besar, baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, berkata ini kerana Sarawak mempunyai ‘venue’ dan kemudahan sukan bertaraf dunia.

“Kita teruja untuk membuka semula kejohanan sukan di negeri ini. Selepas dua tahun tidak menganjurkan acara sukan akibat pandemik global COVID-19, banyak acara yang tertunda.

“Bagaimanapun dalam fasa endemik yang kini beransur pulih, kita kembali membuka semula penganjuran sukan, kerana Sarawak mempunyai ‘venue’ dan kemudahan yang bertaraf dunia, terutamanya di Kuching,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Sports Corporation (SSC), Morshidi Fredrick, pada Majlis Penutupan Second Sarawak Short Course Sprint di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Gerald juga memberitahu Sarawak telah menyaksikan beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Spartan Race dan Borneo Trail Classic.

“Bukan itu sahaja malah kita juga akan menganjurkan Deka Fit pada November ini yang merupakan acara pertama di Asia Tenggara,” tambahnya.

Mengenai Second Sarawak Short Course Sprint, terdapat kira-kira 20 pasukan yang mengambil bahagian, termasuk dari Indonesia, Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Acara ini telah berlangsung selama dua hari dengan penglibatan 529 perenang dalam pelbagai kategori. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.