Lebih 1,000 usahawan mikro Sarawak tidak perlu lagi bergantung pada kebajikan

Spread the love

KUCHING, 14 Ogos : Seramai 1,004 usahawan Wellbest (UWB) berjaya berdikari dari segi ekonomi hasil daripada latihan dan bimbingan melalui Program Pembangunan Usahawan Wellbest di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak tahun 2013 hingga Julai tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata program peningkatan pendapatan bagi UWB, atau dahulunya dikenali sebagai Usahawan Mikro Kebajikan (UMK), adalah penting agar mereka dapat hidup berdikari dan akhirnya keluar daripada senarai penerima bantuan.

“Program Pembangunan dan Pemerkasaan Kumpulan Sasar sangat penting dalam merealisasikan ‘exit policy’ jabatan.

“Pemberian Geran Pelancaran melalui pelaksanaan projek atau perniagaan oleh kumpulan sasar jabatan atau ahli isi rumah (AIR) mereka yang masih produktif dapat meningkatkan pendapatan, tahap ekonomi dan taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Asas Keusahawanan Siri 3/2022 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Beliau menambah, antara inisiatif UWB adalah Program Pembangunan Minda, Bimbingan UMK selama enam bulan hingga dua tahun, dan Latihan Kemahiran Bisnes dan Pembangunan Pasaran dan Pemasaran.

“UWB diberi Geran Pelancaran berjumlah maksimum RM5,000 dalam bentuk peralatan bisnes yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi kumpulan sasar secara konsisten sehingga mereka berdikari dan tidak bergantung dengan bantuan kebajikan,” katanya.

Dalam pada itu, Kursus Asas Keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)-JKMS yang baharu sahaja selesai hari ini merupakan program asas yang direka untuk melatih bakal usahawan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai alam perniagaan.

Tiga siri kursus telah diadakan mengikut zon, iaitu Siri 1 yang telah diadakan dari 1 hingga 3 Julai di Sibu, Siri 2 dari 3 hingga 5 Ogos di Bintulu, dan Siri 3 dari 12 hingga 14 Ogos di Kuching.

Fatimah menjelaskan, kolaborasi bersama INSKEN-JKMS dalam program pembangunan kapasiti usahawan bermula pada bulan Julai tahun lepas dengan persetujuan agar INSKEN menawarkan kursus yang sesuai mengikut kategori usahawan (permulaan, pertengahan dan akan dilepaskan untuk berdikari) dan juga kakitangan yang kini membimbing usahawan pada peringkat bahagian dan daerah. 

Ini termasuk kursus seperti Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Urus Tunai, Business Coaching, dan Business Facilitation Training Programme.

Fatimah berharap INSKEN, selaku badan yang mempunyai reputasi yang sangat baik dalam memberikan kursus keusahawanan yang sentiasa relevan di Malaysia, dapat memberi latihan yang mantap dan melahirkan usahawan yang berjaya di Sarawak sama seperti di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. 

“INSKEN sangat komited dan bersedia untuk membiayai sebahagian kos penganjuran kursus-kursus ini yang sangat membantu pihak JKMS, dan diharap kerjasama ini berkekalan dan mencapai objektif utama kolaborasi ini,” katanya lagi.

Fatimah berkata, kerajaan Sarawak akan sentiasa memberi bantuan serta kemudahan kepada usahawan mikro kerana mereka juga turut menyumbang kepada ekonomi negeri. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.