Abdul Karim: Tunjukkan sokongan pada PRU15, sama seperti pada PRN lalu

Spread the love

DARO, 14 Ogos : Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru rakyat di kawasan Daro dan sekitarnya agar terus memberi sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti seperti mana yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Malah Abdul Karim, juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, menjangkakan PRU15 bakal diadakan tidak lama lagi, iaitu dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Bagi PRN yang lalu, kita sudah melihat, dan harapan saya adalah kita tunjukkan sokongan yang sama dalam Pilihan Raya Parlimen kepada siapa-siapa calon di bawah PBB GPS dalam kawasan Parlimen di Daro dan seluruh Sarawak.

“Seperti di Mukah dan Igan, ini ialah “heartland” untuk etnik Melanau. Kita mahu melihat penyatuan erat dalam kalangan mereka yang tinggal dalam kawasan ini, baik dari etnik kaum lain yang berbeza, sebagai orang Sarawak.

“Harapan kita agar mereka memberikan sokongan kepada parti yang rapat dengan Sarawak, yang lahirnya dari Sarawak, parti-parti tersebut yang patut kita sokong,” katanya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Daro di sini hari ini.

Sebagai wakil rakyat, katanya, mereka perlu mengatur perancangan pembangunan, dan Kerajaan Sarawak kini diakui memiliki kepimpinan terbaik, dan ia dapat dilihat pada PRN lalu di mana ramai calon GPS di kawasan tengah Sarawak telah menang besar.

“Kalau dapat, kita tunjukkan kepada Kuala Lumpur (Persekutuan), kita bersatu di belakang GPS, kita ada 31 kerusi Parlimen, dan niat kita mahu menang di kesemua 31 kerusi tersebut.

“Saya percaya dengan kerja kuat sedikit lagi, kita boleh (menang). Sebab itu, di kawasan Igan, saya rasa jika diberi sokongan kepada calon GPS kita nanti, kita boleh (menang).

“Saya juga melihat Ahli Parlimen dan ADUN di Daro ini tidak bermasalah dalam bekerjasama,” katanya lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.