Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 asas pembangunan Keluarga Malaysia

Spread the love

KUCHING, 13 Ogos : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, langkah berkenaan yang merupakan asas kepada pembangunan Keluarga Malaysia perlu terus dihormati.

“Terima kasih Kerajaan Persekutuan kerana sanggup meminda Perlembagaan kita dan mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 sebagai asas kewujudan Malaysia serta mengiktiraf Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Pada tahun lepas, kerajaan meminda Perlembagaan dengan memasukkan beberapa faktor yang menjadi asas kewujudan Malaysia, dan rangka perundangan ini harus kita hormati dalam kita membangunkan Keluarga Malaysia yang sentiasa aman dan damai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Katanya lagi, keputusan berkenaan juga akan mengukuhkan lagi keazaman untuk meningkatkan pembangunan di Sarawak.

Pada Disember 2021, Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 diluluskan apabila ia mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pindaan itu meletakkan MA63 setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.