Persatuan Guru Al-Quran bakal disediakan tapak bangunan sendiri

Spread the love

KUCHING, 13 Ogos: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersetuju untuk menyediakan tapak tanah dan bangunan bagi Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching.

Menurut Timbalan Pengerusi persatuan itu, Ustaz San’ani Fauzi, sejak penubuhannya pada tahun 2005, ia belum lagi memiliki tanah atau bangunan sendiri.

Hingga kini, ia masih lagi menyewa dan berkongsi pejabat dengan Akademi Al-Quran Al Mukarramah.

“Premier telah bersetuju untuk menyediakan tapak bangunan, dan logistik bagi pihak kami.

“Kami juga bercadang untuk melantik Premier sebagai penaung dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Setakat ini, beliau bersetuju,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Jelas Ustaz San’ani lagi, dengan adanya bangunan itu nanti, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos bayaran sewa premis serta kos penganjuran program persatuan.

“Kami perlukan ruang pejabat, termasuk asrama, jika kami mengadakan kursus Al-Quran,” ujarnya.

Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1 September 2005.

Objektif persatuan ini adalah untuk menambah baik mutu bacaan Al-Quran dalam kalangan guru-guru, selain melahirkan qari dan qariah yang berkualiti di negeri ini supaya dapat bertanding pada peringkat antarabangsa.

Selain di Kuching, persatuan ini juga berhasrat untuk memperluaskan cawangan ke kawasan-kawasan lain di negeri ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.