Keyakinan pelabur asing terhadap Sarawak meningkat

Spread the love

KUCHING, 13 Ogos : Keyakinan pelabur asing untuk melabur di Sarawak dilihat semakin positif dan meningkat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia disebabkan oleh dasar yang dilaksanakan Sarawak lebih-lebih lagi dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi.

“Kini pelaburan telahpun menjangkau sebanyak RM60 bilion kepada ekonomi kita.

“Bagaimanapun saya mahu anak-anak muda di negeri ini untuk terus meningkatkan kepakaran dan kemahiran supaya kita dapat membangunkan negeri yang mampan.

“Ia juga secara tidak langsung memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati segala kemudahan moden bagi mewujudkan sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Sehubungan itu, Abang Johari turut menekankan, pucuk pimpinannya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus melaksanakan pelan jangka panjang bagi mencapai sasaran negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Sebab itu GPS menekankan pembangunan jangka panjang dengan menambah nilai sumber yang ada di Sarawak dan juga mewujudkan hala tuju supaya Sarawak maju berpendapatan tinggi.

“Seperti apa yang saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob katakan sebelum ini, jika Sarawak maju Malaysia juga akan maju,” ujarnya.

Perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 merupakan kesinambungan kepada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Julai lepas.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, antara aktiviti utama yang telah dirangka adalah Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia serta pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) dan penyerahan Jalur Gemilang.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nassar. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.