Sarawak destinasi pilihan pelancongan perubatan

Spread the love

KUCHING, 12 Ogos: Kerajaan Sarawak tidak akan menghalang warga Indonesia daripada mendapatkan khidmat perubatan di fasiliti kesihatan swasta di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkannya sebagai satu perkara yang bukan luar biasa. Sebaliknya, ia dilihat sebagai pelancongan perubatan.

Menurut Abdul Karim, sudah menjadi lumrah bagi golongan berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang mereka anggap terbaik bagi mereka di fasiliti kesihatan luar negara.

“Perkara ini adalah perkara biasa di mana orang Malaysia pun ada juga pergi ke India, Singapura, Australia untuk mendapatkan khidmat perubatan, sesuatu yang sudah menjadi lumrah atau satu perkara biasa.

“Ia sedikit sebanyak dilihat sebagai salah satu produk pelancongan,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita pada 24 Julai lepas yang menyatakan lebih 1,000 pesakit warga Indonesia, khasnya dari Kalimantan Barat, memilih untuk menjalani rawatan di Pusat Rawatan Pakar Normah di Kuching sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu.

Abdul Karim menambah lagi, hakikat bahawa ia terletak berhampiran sempadan Sarawak juga merupakan antara faktor utama kenapa Sarawak dipilih sebagai destinasi perubatan warga republik itu, khususnya dari Kalimantan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.