Lapangan terbang baharu Lawas mula dibina suku pertama tahun depan

Spread the love

KUCHING, 12 Ogos : Lapangan terbang baharu di Lawas yang akan mula dibina pada suku pertama tahun depan bakal memberi perkhidmatan kepada segmen pengguna yang lebih besar terutamanya di utara Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia setelah siap pada 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain itu lapangan terbang berkenaan yang operasinya bakal ‘dipacu’ oleh tenaga hijau juga akan lebih mesra pengguna.

“Seterusnya lapangan terbang ini akan memanfaatkan penduduk Lawas dan kawasan sekitarnya.

“Cadangan pelbagai projek mega dan kesejahteraan rakyat yang bakal dilaksanakan di kawasan ini juga menjadi faktor utama Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis penutup makmal pengurusan nilai (VAL) projek pembinaan lapangan terbang itu di Sundar hari ini.

Sesi berkenaan yang berlangsung selama dua hari dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (Recoda).

Menerusi kenyataan media, Recoda memaklumkan fungsi lapangan sedia ada ketika ini yang mula beroperasi pada 1961 dikategorikan sebagai terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) meskipun sudah beberapa kali dinaik taraf.

Kali terakhir kerja – kerja ‘pembesaran’ dilaksanakan pada 1996 namun terus dibelenggu beberapa isu termasuklah banjir selain peningkatan penumpang yang tidak mampu diserap oleh operasi lapangan terbang berkenaan.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia yang menjalankan kajian pada 2016 telah mengesyorkan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu dengan panjang landasan 1,500 meter yang boleh memuatkan pesawat ATR 72-500,” tambah Recoda.

Sementara itu, antara perkara lain yang turut disentuh sepanjang VAL berkenaan input dan maklum balas mengenai perancangan dan sistem reka bentuk, seni bina, kerja mekanikal dan elektrik bagi mencapai nilai yang lebih baik serta kos projek yang optimum.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelabuhan Sarawak berkata, beberapa projek mega lain yang akan dilaksanakan di Lawas termasuklah Lebuhraya Pantai Utara (NCH), Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB).

“Pada masa sama, Recoda juga telah selesai menjalankan kajian untuk cadangan pelabuhan laut dalam baharu di Lawas manakala kementerian saya kini dalam usaha menyiapkan pelan induk pembangunan terminal perindustrian yang merupakan sebahagian daripada strategi untuk membangunkan hab petrokimia di Lawas.

“Oleh itu, lapangan terbang baharu ini penting kerana ianya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di wilayah utara,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.