Jawatankuasa pilihan khas bincang RUU Kawalan Tembakau minggu depan

Spread the love

JOHOR BAHARU, 12 Ogos : Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022 akan bermesyuarat untuk kali pertama minggu depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mendengar pandangan daripada ahli jawatankuasa dianggotai 12 ahli parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, terdapat perkara yang perlu diperhalusi berhubung penguatkuasaan dan tahap denda RUU berkenaan.

“Minggu depan kita akan dengar dahulu ahli-ahli jawatankuasa khas, tapi kalau kita rujuk kepada surat daripada ketua pembangkang, kepada yang berhormat Perdana Menteri, ketua pembangkang setuju secara dasarnya dan kebanyakan perbahasan saya boleh katakan 95 peratus setuju pada dasarnya.

“Cuma perlu perhalusi sedikit peruntukan-peruntukan secara teliti melihat kepada penguatkuasaan, tahap denda dan sebagainya.

“Itu kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Johor di Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.

Jawatankuasa itu dianggotai Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) Dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni; Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Sivarasa (Sungai Buloh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang) Dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun).

Jawatankuasa itu juga boleh menjemput mana-mana pihak seperti ahli parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, dewan rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022 dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.