Hanya kanak-kanak lahir di luar negara berbapakan warganegara berhak dapat kerakyatan Malaysia

Spread the love

PUTRAJAYA, 12 Ogos : Hanya kanak-kanak yang lahir di luar negara berbapakan warganegara Malaysia berhak mendapat kerakyatan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang, demikian putus Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata demikian dalam alasan penghakiman bertulisnya bagi keputusan majoriti 2-1 pada Jumaat lepas yang memutuskan bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Beliau berkata perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan merujuk hanya kepada bapa serta tidak termasuk ibu dan ini bermakna ia menghalang ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mewariskan status kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Katanya adalah menjadi hasrat penggubal Perlembagaan Persekutuan bahawa kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang bagi kanak-kanak yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia harus mengikut status bapa.

Baca > > > Mahkamah putuskan anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia tidak layak dapat kerakyatan

Baca > > > Borang pohon status warganegara perlu lengkap – Fatimah

“Pada pandangan saya, mahkamah tidak sepatutnya mempertikai kenapa undang-undang itu digubal atau sama ada Parlimen telah mengambil memutuskan untuk menggubal undang-undang itu namun tugas mahkamah ialah mentafsir undang-undang yang digubal dengan sewajarnya,” katanya.

Kamaludin berkata remedi bagi ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk mendapatkan status kerakyatan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara diperuntuk di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata aduan para ibu bukanlah terhadap undang-undang sedia ada iaitu Perkara 15 (2) yang memperuntuk remedi kepada mereka untuk memohon status kerakyatan bagi anak mereka sebaliknya adalah terhadap pihak berkuasa yang meluluskan atau sistem yang digunakan ketika ini.

“Sistem itu boleh diperbaiki atau diubah. Saya setuju isu ini perlu ditangani oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi sedang menulis semula undang-undang berkaitan pemberian status kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar Malaysia ia mengguna pakai undang-undang sedia ada dan dasar yang telah berkuat kuasa untuk mencari remedi kepada aduan para ibu dengan mentafsirkan bahawa perkataan ‘bapa’ juga boleh merujuk kepada ibu.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kamaludin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kanak-kanak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia manakala Hakim Datuk S. Nantha Balan menentang.

Rayuan itu membabitkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar semua agensi kerajaan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia mengeluarkan dokumen berkaitan kerakyatan (seperti pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Pada hari sama, panel itu turut menolak rayuan seorang wanita berumur 24 tahun iaitu Mahisha Sulaiha Abdul Majeed terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang menolak samannya untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa beliau berhak menjadi rakyat Malaysia.

Dalam alasan penghakimannya, Kamaludin berkata proses Parlimen adalah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan isu membabitkan persoalan kontroversial dan rumit yang dicetuskan oleh dilema moral serta sosial.

Beliau juga berkata Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak melakukan diskriminasi jantina terhadap wanita.

Dalam penghakiman minoriti yang memihak kepada para ibu terbabit, Nantha Balan berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk mengatakan bahawa tidak ada diskriminasi terhadap ibu warganegara Malaysia yang tidak dapat mewariskan kerakyatannya kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.