Tiada kompromi terhadap pihak beri rawatan gigi tanpa doktor bertauliah – Khairy

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Ogos :Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan pergigian tanpa menggunakan khidmat doktor bertauliah, demikian ditegaskan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kes atau tempat yang menawarkan perkhidmatan tanpa doktor gigi bertauliah wujud.

“Doktor pergigian yang tiada kelayakan, tanpa pendaftaran kita akan ambil tindakan, memang tiada kompromi dalam hal ini kerana apa sahaja perkhidmatan kesihatan pergigian mesti diberi oleh doktor pergigian yang layak,” katanya kepada pemberita selepas Program Beauty and Health di sini hari ini.

Khairy ditanya mengenai kewujudan pusat kecantikan yang menawarkan rawatan pergigian tidak berdaftar di negara ini.

Beliau turut memaklumkan satu sesi libat urus akan diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna susulan rayuan penggiat industri kecantikan supaya membenarkan beberapa prosedur perkhidmatan termasuk rawatan laser dikendalikan oleh pakar kecantikan.

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan (KKM), kita tidak benarkan sebab banyak prosedur kecantikan ini mempunyai risiko tinggi dan hanya dapat dilakukan oleh pegawai perubatan namun rayuan telah dibuat, saya setuju untuk diadakan satu sesi libat urus dengan Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,” katanya.

Khairy juga berkata kerajaan akan merujuk kepada pakar kesihatan terlebih dahulu sebelum membuat pendirian berhubung strategi vaksinasi tahunan COVID-19 negara.

Beliau berkata setakat ini, negara lain belum lagi memutuskan langkah ke arah itu namun KKM sudah memulakan perbincangan mengenainya bersama para pakar yang berkaitan semalam.

Katanya buat masa ini, KKM tidak menetapkan sebarang sasaran terhadap bilangan individu yang mengambil dos penggalak kedua COVID-19 sebaliknya akan terus mendidik dan menggalakkan rakyat berbuat demikian demi tahap kesihatan masing-masing.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.