Rawatan IVF, Kerajaan Sarawak pertimbang beri bantuan

Spread the love

KUCHING, 11 Ogos : Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan bantuan dari segi kewangan untuk membantu pasangan suami isteri yang ingin menimang cahaya mata melalui rawatan kesuburan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan sekiranya terdapat keperluan mendesak, tidak mustahil untuk kerajaan mewujudkan bantuan sedemikian.

“Kita lihat dari segi keadaan di Sarawak, sama ada wujudnya keperluan mendesak ataupun tidak. Kita perlu melihat dengan lebih terperinci baru kita dapat putuskan apa keputusannya.

Namun, kemungkinannya sentiasa ada, cuma kita memerlukan kajian terperinci,” katanya ketika ditanya kemungkinan untuk kerajaan mewujudkan pinjaman kewangan kepada pasangan yang terdesak.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway serta Pusat Kesuburan Sunway, di sini, hari ini.

Statistik kelahiran baharu di Sarawak pada tahun lepas menunjukkan penurunan ketara apabila hanya seramai 24,081 bayi dilahirkan.

Sementara pada tahun 2020, jumlah kelahiran ialah sebanyak 31,176 orang dan 2019 pula 33,304 didaftarkan.

Dalam pada itu, Pusat Kesuburan Sunway di Kuching memaklumkan pihaknya turut menerima alternatif bayaran daripada Akaun 2 Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) pesakit, kata Pakar Kesuburan dan Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Edawati Dahrawi Edrus.

Pakar Kesuburan dan Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Edawati Dahrawi Edrus ketika ditemu bual TVS hari ini.

“Sekiranya pesakit merupakan ahli KWSP, pihak kami menerima bayaran Persenyawaan in vitro (IVF) daripada Akaun 2 pesakit.

Ini sudah terlaksana sejak 2020 lagi,” katanya ketika ditemui.

Katanya, pusat berkenaan menawarkan perkhidmatan seperti In-Vitro Fertilization (IVF), Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI), pemeliharaan kesuburan, Intra Uterine Insemination (IUI) dan penilaian kesuburan dengan menggunakan teknologi Ujian Genetik PraImplantasi (PGT), Time Lapse Technology for embryo culture and selection, dan Susunan Penerimaan Endometrium (ERA).

Menariknya, turut tersedia di samping pusat ini adalah Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway sebagai antara pilihan untuk pesakit melakukan pemulihan sebelum, semasa atau selepas rawatan kesuburan secara moden.

Menurut Pengurus Pusat TCM, Hu Kee Yie pusat tersebut menawarkan rawatan tradisional menggunakan ubat tradisi Cina, terapi diet, pelan amalan gaya hidup sihat dan lain-lain.

Dato Sri Fatimah Abdullah bersama Pengurus Pusat TCM, Hu Kee Yie

“Kajian klinikal sebenarnya mendapati bahawa sekiranya kita memulakan akupuntur atau memulakan rawatan melalui ubatan herba pada 3 hingga 6 bulan sebelum kehamilan semula jadi atau sebarang rawatan kesuburan, ia meningkatkan peluang kehamilan dari 35 hingga 50 peratus,” jelasnya.

Sejak beroperasi pada Mei 2022, Pusat Kesuburan serta TCM Sunway Kuching sudah menerima pesakit bukan sahaja dalam negeri malah dari Sabah, Brunei dan juga Indonesia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.