PATI sanggup bayar hingga RM4 ribu untuk masuk Malaysia

Spread the love
IPOH, 11 Ogos : Polis Perak berjaya menggagalkan usaha 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran untuk memasuki negara ini selepas menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, Manjung dekat sini awal pagi semalam.
 
Operasi kira-kira pukul 2.15 pagi itu membabitkan pasukan dari Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sambil dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menerima maklumat orang awam.
 
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mereka yang ditahan adalah 54 lelaki dan tujuh perempuan disyaki PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dari negara jiran.
 
“Seorang tekong bot lelaki berumur 39 tahun dan dua lagi lelaki yang merupakan pembantu tekong berusia 40 dan 45 tahun juga dari negara sama turut ditahan.
 
“Menurut tekong, mereka dalam perjalanan dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati setiap PATI terbabit dikenakan bayaran sebanyak RM800 hingga RM4,000 kepada ejen di negara terbabit untuk menyusup masuk ke negara ini.
 
Azizi berkata, kesemua mereka dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini sebelum tindakan lanjut oleh agensi berkaitan.
 
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen  26A Akta Pemerdagangam Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. – TVS
Tags: PATI, Perak, PPM

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.