BERNAMA terus kekal sebagai agensi berita yang relevan

Spread the love

KUCHING, 15 Ogos : Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

BERNAMA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Pengerusinya ketika ini ialah Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.

Agensi ini memberi perkhidmatan berita am, ekonomi dan luar negeri dengan menggunakan pelbagai platfom media seperti televisyen, radio dan perkhidmatan berita dalam talian.

Selain menyediakan perkhidmatan berita kepada pelanggan menggunakan ‘wires’, BERNAMA turut mempunyai saluran televisyennya sendiri iaitu BERNAMA TV di saluran 502 Astro.

Siaran radionya pula boleh didengari di frekuensi 93.9 yang beroperasi 24 jam.

Peranan BERNAMA sebagai sumber berita nasional yang terkini dan dipercayai amat dikenali di kalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini.

Bagi memastikan penyampaian maklumat dengan lebih menyeluruh, kandungan berita disampaikan dalam pelbagai bahasa antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Arab dan Bahasa Sepanyol.

Kebanyakan akhbar dan media elektronik di Malaysia dan agensi-agensi berita asing ialah pelanggan BERNAMA.

Agensi ini turut mempunyai koresponden di luar negara iaitu di Singapura, Indonesia dan Thailand.

Berpandukan objektifnya yang sentiasa berusaha untuk mengumpul dan menyalurkan berita dan maklumat yang tepat, BERNAMA akan melaporkan peristiwa dan aktiviti seperti yang berlaku dengan cepat.

BERNAMA akan menyalurkan berita kepada pelanggan dan orang ramai secepat mungkin, secara adil dan seimbang untuk semua pihak.

Agensi yang ‘markas induknya’ di Jalan Bernama, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ini turut menetapkan visi untuk menjadi agensi berita yang terkenal dan diiktiraf di peringkat global, setanding dengan agensi – agensi berita antarabangsa yang lain.

‘Jauh’ daripada sekadar sensasi dan viral, BERNAMA sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang berat selaku ‘penghulu’ kepada media di negara ini.

Ini kerana BERNAMA disandarkan kepercayaan untuk menghasilkan dan menyebarkan berita dan maklumat secara tepat, cepat, adil dan objektif demi kepentingan negara.

Ini seterusnya memacu pembentukan masyarakat bermaklumat dan menjana pendapatan melalui kepelbagaian produk berita dan maklumat.

Berhubung misi peningkatan kualiti, BERNAMA juga berhasrat untuk meningkatkan taraf kewartawanan di negara ini dengan menawarkan kerjaya yang mencabar dan bermanfaat.

Ledakan ekonomi digital dan teknologi yang melanda dunia ketika ini, BERNAMA turut tidak terkecuali dalam memantapkan aspek berkenaan menerusi penggunaan terknologi terkini dalam penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelanggannya pada setiap masa. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.