Tentera patahkan cubaan seludup minuman keras ke Brunei

Spread the love

KUCHING, 10 Ogos : Anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM90 000 ke Brunei, awal pagi tadi.

Markas berkenaan berkata, sepasukan anggotanya yang sedang melaksanakan operasi di jeti Kampung Sibukang, Sektor Pos Limbang yang terletak kira – kira satu kilometer (km) dari sempadan Malaysia – Brunei telah mengesan sebuah van yang berhenti di situ dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota petugas kemudian menyerbu van berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia bersama dua lelaki warga Brunei berusia sekitar 24 hingga 53 tahun.

“Mereka dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan minuman keras ke negara jiran itu,”jelas markas berkenaan menerusi kenyataan media hari ini.

Kesemua minuman keras pelbagai jenama sebanyak 116 karton itu kemudian dirampas bersama van yang dianggarkan bernilai RM 30,000 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk tindakan lanjut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.