Rangkuman Liga Super : Sabah FC terus ‘hantui’ JDT

Spread the love

KUALA LUMPUR, 10 Ogos : Sabah FC terus memberi cabaran hebat dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sarawak United FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukan apabila menanduk masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan Saddil Ramdani pada minit ke-63 yang menjadi gol kemenangan skuad Sang Badak.

Sabah berpeluang menambah jaringan, namun percubaan Taiki Kagayama pada minit ke-71 hanya singgah di palang selepas ditepis penjaga gol Taufiq Ar Rasyid Johar yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 1-0 sekali gus memberi tiga mata berharga kepada pasukan tuan rumah.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 34 mata dalam 15 aksi, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang selesa menerajui takhta liga dengan kurang dua perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengatasi Penang FC 3-2 sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga dengan mengumpul 29 mata selepas 15 perlawanan.

Pada aksi berlangsung sengit itu, Penang terlebih dahulu berada di depan apabila ketua pasukan Lucas Silva meledak gol keempatnya musim ini selepas menanduk masuk sepakan percuma rakan sepasukan, Muhamad Faizat Mohamad Ghazli pada minit ke-27.

Negeri Sembilan hanya memerlukan lapan minit selepas itu untuk menyamakan kedudukan selepas rembatan Zamri Pin Ramli pada minit ke-35 gagal diselamatkan penjaga gol Shafiq Afifi Suhaimi sebelum jaringan menarik Matheus Alves meletakkan pasukan tuan rumah pula di depan pada minit ke-59.

Penang enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan hasil penyudah T. Saravanan pada minit ke-81, namun Herold Goulon mudah meledak gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-85 selepas menggunakan kelebihan fizikalnya untuk mengawal bola sebelum melepaskan rembatan padu dalam kotak penalti.

Sementara itu, Sri Pahang FC turut melakar kemenangan ketiga berturut-turut selepas menundukkan Petaling Jaya (PJ) City FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tiga gol Sri Pahang masing-masing dijaringkan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-27, Steven Rodriguez (minit ke-45) dan Manuel Hidalgo pada minit ke-90 untuk memastikan pasukan membawa pulang tiga mata dan naik tiga anak tangga ke kedudukan keenam, mengumpul 17 mata.

Dalam pada itu, saingan Liga Premier menyaksikan jaringan tunggal Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-66 memastikan PDRM FC menewaskan Selangor 2 FC  1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras manakala Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) seri 0-0 di Stadium Negeri di Kuching. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.