Dhabitah optimis mampu beraksi pelbagai acara terjun di kejohanan akan datang

Spread the love

SEPANG, 10 Ogos: Atlet terjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri optimis mampu menggalas tugas beraksi dalam pelbagai acara bagi sukan terjun di kejohanan akan datang.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata keyakinan itu diraih setelah beliau mampu membuat persiapan terbaik seterusnya membuktikan prestasi cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu memaklumkan beliau bersedia turun bersaing dalam apa jua acara yang dimahukan jurulatih sekali gus berusaha mengharumkan nama negara.

“Sebelum ini memang kami tak cukup penerjun nak menggantikan, tapi alhamdulillah dulu memang dah berlatih untuk dua acara iaitu platform dan papan dan sekarang saya hanya buat acara apa yang mereka beri pada saya.

“Bagi saya, saya hanya buat semua ini untuk negara, saya buat sementara saya masih muda, tapi untuk acara individu saya akan pertimbang, sebab kalau terlalu banyak acara saya rasa tak mampu buat,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Terdahulu Nur Dhabitah berjaya peroleh dua pingat perak menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita bersama pasangannya Wendy Ng Yan Yee dan individu 3m papan anjal wanita di temasya berprestij itu.

Beliau pada masa sama turut menghadiahkan pingat gangsa buat negara dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama gandingannya Muhammad Syafiq Puteh pada Isnin lepas. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.