Sistem solar-hidrogen pertama di Malaysia bekalkan tenaga elektrik untuk klinik kesihatan Long Loyang

Spread the love

MIRI, 8 Ogos : Setelah sekian lama menggunakan generator untuk kegunaan operasi harian, Klinik kesihatan Long Loyang, Baram kini telah dilengkapkan dengan sistem solar hidrogen yang membolehkan mereka menikmati kemudahan elektrik 24 jam.

“Klinik kesihatan Long Loyang merupakan tapak rintis pertama di Malaysia dalam memperkenalkan sistem solar-hidrogen yang dikendalikan oleh syarikat H2 Energy Sendirian Berhad, selari dengan hala tuju Premier kita untuk menyokong penggunaan tenaga hijau”, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dalam sidang media di majlis pelancaran sistem solar hidrogen di Long Loyang, Baram Miri.

Katanya lagi, tenaga yang dihasilkan oleh sistem solar hidrogen melalui penggunaan air hujan dan cahaya matahari itu mampu menjana elektrik selama 24 jam dengan keupayaan untuk membekalkan sehingga 25-30 kiloWatt kuasa elektrik sejam.

Dengan kemudahan sistem tenaga hijau dan bekalan elektrik 24 jam, klinik tersebut kini dapat melakukan pengurusan pesakit dan ubat ubatan dengan lebih berkesan seperti pengunaan peralatan perubatan dan peti sejuk untuk penyimpanan ubat-ubatan serta vaksin.

“rekabentuk sistem ini yang lebih kecil juga menjadikan ia nya mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana jika hendak memasang sistem ini di kawasan luar bandar” katanya.

Beliau berharap sistem ini akan dapat membantu usaha kerajaan untuk membekalkan kemudahan asas utiliti serta jaringan jalur lebar ke seluruh kawasan pedalaman Sarawak.

Long Loyang mempunyai populasi 1,300 orang penduduk dengan 128 buah pintu rumah panjang.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan pemberian peruntukan projek kecil luar bandar sebanyak RM15,000 untuk tujuan pembinaan jeti bagi kegunaan penduduk kampung Long Loyang dan sebanyak RM10,000 juga disumbangkan kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru(PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Long Loyang.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau, serta Pengerusi Kumpulan H2 Energy Sendirian Berhad, Tan Sri Dato Seri Zulkefli Ahmad Makinudin. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.