PCDS 2030, usaha kerajaan Sarawak tangani ketidaksepadanan pekerjaan

Spread the love

KUCHING, 9 Ogos : Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan salah satu langkah dan usaha kerajaan negeri ke arah menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan yang berlaku ketika ini di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, strategi-strategi yang digariskan di dalam PCDS 2030 menjurus kepada penerokaan ‘pekerjaan masa hadapan’ yang bakal menawarkan peluang pekerjaan yang besar dalam bidang yang berkenaan.

“Antara langkah tersebut adalah pembangunan infrastruktur digital yang merupakan salah satu daripada penekanan di dalam PCDS 2030.

“Ia juga termasuk latihan-latihan yang akan ditawarkan kepada belia kita dalam menghadapi isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Doa Selamat Matang Seafood Foodcourt di Matang Jaya, di sini, semalam.

Menurut Fazzrudin lagi, isu ketidaksepadanan pekerjaan ini merupakan isu global di mana ramai graduan berkepakaran dalam sesuatu bidang tetapi menceburkan diri di dalam bidang yang lain.

“Jadi anak-anak muda kita melihat bidang ataupun peluang pekerjaan dalam industri-industri yang dapat ditawarkan kepada mereka, kerana sekarang ini ianya tentang kelangsungan  hidup.

“Kini, mereka merebut apa-apa sahaja peluang di depan mata mereka, tanpa mengira latar belakang ataupun bidang pengajian mereka,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.