JKSM sedia draf panduan bagi pesalah muda jenayah syariah

Spread the love

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang menyediakan draf garis panduan bagi pesalah muda jenayah syariah untuk memastikan kebajikan pesalah kategori itu diberi perhatian sewajarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ia termasuk memelihara hak pesalah muda ketika proses tangkapan, siasatan, pendakwaan dan setelah hukuman dijatuhkan.

“Garis panduan ini akan diedarkan kepada Mahkamah Syariah Negeri untuk dikuatkuasakan melalui arahan amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie negeri-negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu pendirian kerajaan mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Kanak-Kanak di Mahkamah Syariah untuk melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak di mahkamah itu.

Menjelas lanjut, Ahmad Marzuk berkata kerajaan amat menyambut baik cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Kanak-kanak di Mahkamah Syariah itu dan bersedia meneliti keperluannya dengan lebih lanjut.

Malah katanya kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan untuk melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas.

Menjawab soalan tambahan Fadhlina mengenai pengendalian hukuman sebat terhadap pesalah muda, Ahmad Marzuk berkata Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, tidak menyebut secara jelas pengecualian hukuman sebat ke atas kanak-kanak yang didapati bersalah atas jenayah syariah.

Bagaimapun beliau berkata Seksyen 128 akta yang sama, ada menyatakan cara hukuman ke atas pesalah muda yang ditakrifkan pesalah di bawah 16 tahun iaitu hukuman alternatif berbentuk rehabilitatif, seperti teguran wajar oleh mahkamah dan bon berkelakuan baik di bawah pengawasan ibu bapa.

“Malah para Hakim Syarie didedahkan cara dalam memutuskan hukuman yang wajar ke atas kanak-kanak. JKSM juga dalam proses menubuhkan garis panduan pengendalian pesalah kategori tersebut.

“Walaupun tidak ada pengecualian hukuman sebat secara jelas tetapi Hakim Syarie diberi pilihan untuk hukuman seperti pemulihan teguran dan rehabilitatif yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak dan ini telah diamalkan dalam menghakimi dalam Mahkamah Syariah dalam kendalian kes hukuman ke atas kanak-kanak,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.