Guru agama di Sarawak wajib dapat tauliah

Spread the love

KUCHING, 10 Ogos : Semua guru agama Islam di Sarawak diwajibkan untuk mendapat tauliah mengajar daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi memastikan kualiti penyampaian masing – masing.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarat berkenaan juga bagi membendung agenda yang menyimpang daripada landasan agama.

Ujar beliau, guru agama mempunyai kedudukan yang mulia di sisi agama kerana di bahu mereka terpikul tanggungjawab berat untuk mendidik dan membimbing umat Islam ke jalan yang benar.

“Sudah tentu peranan ini akan menentukan nasib penyatuan umat pada masa hadapan.

“Sehubungan itu menjadi tanggungjawab bagi setiap guru agama di Sarawak untuk memahami, menghayati dan bersemangat waja dalam mendidik masyarakat supaya terus celik ilmu agama dan agar amalan seharian berpandukan syariat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Multaqa Murabi Ummah Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Darul Hana, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Ahmad.

Sementara itu, Abang Johari turut berharap agar program berkenaan boleh menjadi medium penyatuan guru – guru agama di Sarawak.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberi peruntukan berjumlah RM51 074 949 untuk membantu tadbir urus hal ehwal Islam di negeri di Sarawak. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.