DLP mampu lahirkan modal insan berkualiti menjelang 2030

Spread the love

KUCHING, 9 Ogos: Program Dwibahasa (DLP) dalam sektor pendidikan adalah alternatif terbaik bagi membentuk modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata pelaksanaan DLP di peringkat sekolah rendah terutamanya berpotensi untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing.

Ini kerana terdapat aduan daripada syarikat multinasional bahawa pelajar lepasan universiti tidak mampu bertutur bahasa Inggeris dengan baik.

“Mengikut aduan yang diterima daripada syarikat konglomerat, ramai pelajar kita kurang mahir berbahasa Inggeris.

“Oleh itu dengan pendekatan di awal usia, lebih mudah untuk pelajar kita memenuhi keperluan semasa revolusi industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak 2022 untuk guru Tahun 3 di sini hari ini.

Tambahnya, kebolehan berbahasa asing juga akan memudahkan proses perolehan maklumat kerana kebanyakan sumber dalam talian adalah dalam bahasa Inggeris.

Menurut Roland, modul DLP berkenaan telah dirangka khusus mengikut kesesuaian guru-guru di Sarawak oleh Institusi Perguruan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang.

“Bahasa Inggeris akan menyenangkan urusan guru untuk merancang dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah untuk mengakses lebih banyak bahan bacaan,” katanya.

Beliau turut menekankan agar warga pendidik meningkatkan kualiti PdP mereka dengan melibatkan aktiviti dan riadah berkaitan budaya tempatan bagi menarik minat pelajar terutamanya di kawasan luar bandar.

Program Dwibahasa (DLP) Sarawak telah dilaksanakan sejak 2019 oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MIETD) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua sekolah rendah di Sarawak.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.