Akta Pengangkutan Jalan akan dipinda, hukuman lebih berat menanti mat rempit

Spread the love

 

GEORGE TOWN, 9 Ogos: Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memperuntukkan hukuman lebih tegas bagi menangani isu lumba haram dan mat rempit.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, berkata, pindaan akta tersebut perlu dibuat segera selepas kegiatan berkenaan dilihat semakin meningkat, terutamanya dalam tempoh selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

Katanya, pindaan itu akan membabitkan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam lumba haram serta pihak lain yang menyokong kegiatan tersebut.

“Melalui pindaan itu, kadar minimum saman akan ditingkatkan selain kemungkinan kita akan mempertimbangkan hukuman penjara bagi pelumba haram.

“Bengkel motosikal yang mengubahsuai motosikal mat rempit akan dikenakan tindakan selain ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap pelumba bawah umur 18 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shuhaily Mohd Zain, dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Mat Isa.

Terdahulu, Isham bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ mengadakan perbincangan dan mendengar laporan penuh berhubung kejadian kemalangan membabitkan kematian lima mat motor ketika menyertai aktiviti lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada 17 Julai lalu.

Sementara itu, ujar Isham, pihaknya berkemungkinan akan membawa usul pindaan itu ke Sidang Parlimen pada tahun hadapan supaya PDRM dan JPJ dapat melaksanakan penguatkuasaan secara komprehensif.

“Kita akan cuba buat pada Oktober ini, tetapi mungkin tidak sempat kerana baharu menerima laporan lengkap berhubung kemalangan penunggang motosikal membabitkan lima kematian itu.

“’Task force’ yang membabitkan PDRM, JPJ dan badan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan bagi membincangkan pindaan berkenaan,” katanya lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.