Satu lagi penemuan serpihan roket di Batu Niah

Spread the love

BATU NIAH, 8 Ogos: Satu lagi serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket Long March 5B milik China ditemukan di sebuah kebun persendirian berhampiran Rumah Ngadan, Sg Kurung, Suai dekat sini pada petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi II, Rary Binjie, berkata serpihan roket berukuran satu kaki itu ditemui 100 meter dari rumah panjang tersebut sekitar jam 2.00 petang.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada kira-kira jam 2.19 petang.

“Sembilan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian dan menemukan serpihan logam berwarna kelabu dipercayai bahagian roket China tersebut,” katanya.

Rary telah menasihatkan orang awam, terutamanya penduduk kampung berhampiran, agar tidak mendekati objek kelabu itu buat masa ini.

Pasukan operasi terbabit telah menggunakan pakaian operasi lengkap dan alat pernafasan di lokasi penemuan dan mengambil beberapa gambar objek tersebut untuk tindakan dan rujukan selanjutnya.

Pasukan operasi kemudian bertolak balik ke balai setelah memastikan keadaan sekeliling benar-benar selamat.

Pada 1 Ogos lalu, dua objek yang disyaki serpihan roket China itu turut ditemui di Sepupok, Baru Niah, dan di Kampung Hulu Nyalau, Samalaju, di Bintulu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.