Samling naik lagi ke tangga ke-13 dalam laporan penilaian SPOTT

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Samling muncul sebagai syarikat berkaitan kayu Malaysia yang menduduki tempat teratas dalam laporan penilaian global tahunan yang dijalankan oleh SPOTT meliputi 100 syarikat berkaitan kayu di seluruh dunia merentasi 179 penunjuk Kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbur (ESG).

Pada kedudukan terpuji ke-13, skor Samling sebanyak 58.3% adalah peningkatan sebanyak 14% berbanding markahnya sebelum ini sebanyak 56.9%.

Samling merupakan satu daripada 28 syarikat yang mencatatkan markah lebih baik berbanding pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samling Lawrence Chia berkata, memandangkan purata skor yang bertambah baik adalah 1.94% bagi 28 syarikat tersebut, pihaknya sedar bahawa Samling perlu menambah-baik lagi standard.

“Sebagai contoh, sementara kami mempunyai Dasar Kemampanan yang jelas, kami masih berusaha untuk mengguna-pakai dasar itu kepada semua pembekal kami,” beliau menyebut dalam kenyataan di sini pada hari ini.

Apa yang amat menarik tentang penilaian Samling ialah hakikat bahawa markahnya sebanyak 58.3% adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding syarikat tempatan yang menduduki ranking seterusnya, Golden Pharos, di tempat ke-30, dengan markah 29%.

Kedudukan SPOTT tahunan pada asasnya adalah penilaian tahap ketelusan syarikat berhubung Kemampanan ESG, di mana syarikat diberi markah mengikut tiga jenis perkara utama, iaitu organisasi, dasar dan amalan.

Setiap syarikat menerima skor peratusan berdasarkan 179 penunjuk yang dikumpulkan ke dalam 10 kategori berasingan untuk menanda aras kemajuan mereka dari semasa ke semasa.

“Kami terus membuat kemajuan dalam perjalanan ESG kami dan sebahagian daripadanya adalah ketelusan yang lebih baik mengenai aktiviti kami, dan ini ditunjukkan dalam markah kami yang sentiasa bertambah baik di SPOTT,” kata Chia.

“Pada tahun pertama penilaian kami pada 2020, markah kami adalah 50.5%. Itu juga apabila kami memulakan perjalanan kemampanan kami secara besar-besaran, sebahagian besar daripadanya ialah transformasi operasi kayu kami.

“Kami meningkatkan penggunaan balak ladang untuk produk kayu dan tahun ini, kami melancarkan barisan pengeluaran biojisim kami yang turut menggunakan balak ladang, sambil mengurangkan penuaian kayu asli,” katanya.

Samling juga sedang berusaha ke arah pensijilan penuh semua Unit Pengurusan Hutannya menjelang tahun 2024 selaras dengan Dasar Perhutanan dan Matlamat Pensijilan dan Pemuliharaan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menyedari sepenuhnya betapa pentingnya ESG diberi kesedaran dan komitmen yang lebih besar oleh bukan sahaja kerajaan, tetapi juga pembiaya, pelabur, dan orang awam secara keseluruhannya, Samling telah membawa pakar-pakar subjek yang meliputi bukan sahaja isu pematuhan tetapi juga pelaporan penting supaya usaha Samling dilaporkan tepat pada masanya dan betul.

Chia memberikan contoh penilaian ‘High Conservation Values’ (HCV) dan ‘High Carbon Stock’ (HCS) Samling di mana syarikat sedang berusaha untuk menyediakan semua laporan penilaiannya kepada umum.

Kepentingan amat besar yang diletakkan pada pelaporan pematuhan ESG dan langkah-langkah kemampanan bagi semua industri di seluruh dunia juga telah menyedarkan Samling bahawa ia tidak lagi boleh beroperasi secara tertutup tetapi mencari keseimbangan yang betul antara nilai-nilai ESG dan usaha kemampanannya dengan matlamat perniagaan syarikat.

Walaupun terdapat keperluan untuk memaklumkan kepada pihak berkepentingan tentang usahanya, Samling juga tahu bahawa hanya perubahan nyata sahaja yang akan memberikan kepercayaan yang lebih tinggi kepada usaha ini.

“Perjalanan kemampanan kami adalah usaha berterusan, dan kami akan menggabungkan lebih banyak langkah untuk memenuhi matlamat kami dan semua pihak berkepentingan,” tambah Chia.

SPOTT merupakan platform dalam talian yang dibangunkan oleh Zoological Society of London (ZSL) yang menilai pengeluar, pemproses dan peniaga komoditi.

la pada asasnya adalah penilaian tahap ketelusan syarikat dalam isu ESG di mana syarikat diberi markah mengikut tiga jenis pendedahan utama, iaitu organisasi, dasar dan amalan.

Menurut laman webnya, skor SPOTT yang tinggi menunjukkan bahawa sesebuah syarikat itu secara relatifnya lebih telus jika dibandingkan dengan syarikat lain yang mempunyai markah rendah.

Penunjuk SPOTT mempertimbangkan ketersediaan awam, kualiti dan skop dasar, komitmen, data operasi dan pelaporan aktiviti yang dijalankan oleh syarikat untuk mencapai sasaran mereka.

Pada masa ini, SPOTT menilai syarikat minyak sawit, perhutanan tropika dan getah asli setiap tahun berdasarkan penunjuk ESG khusus untuk menanda aras kemajuan mereka dari semasa ke semasa.

la telah menjadi alat utama bagi pelabur, pembeli dan pengaruh utama untuk menilai pematuhan ESG syarikat berkaitan komoditi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.