Kirim syabu dalam acuan simen ke luar negara

Spread the love

KEPALA BATAS, 8 Ogos: Satu sindiket pengedaran dadah ke luar negara tumpas selepas polis menahan enam individu, termasuk tiga wanita, dalam serbuan di empat lokasi di Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Ahli sindiket berusia antara 32 hingga 66 tahun yang mempunyai pertalian keluarga, termasuk kekasih ketua kumpulan terbabit, ditahan bersama dadah bernilai RM694,412.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, sindiket tersebut cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan bungkusan berisi syabu ke dalam acuan simen.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan itu sejak Jun lalu dengan menghantar acuan simen berisi syabu menerusi khidmat kurier ke luar negara.

“Ini berikutan penemuan dadah berkenaan, yang diisi ke dalam plastik sebelum diletakkan ke dalam acuan simen, hasil siasatan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Tambahnya, polis merampas tiga bungkusan syabu seberat kira-kira 592 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM21,312 bersama 427 paket serbuk MDMA seberat 13.46 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM673,100.

“Selain hantar syabu ke luar negara, sindiket dipercayai melakukan kegiatan mengedar serbuk MDMA berperisa yang disyaki diedarkan di pusat-pusat hiburan.

“Setiap paket serbuk berperisa itu dijual pada harga RM150 dan RM180 dipercayai digunakan semasa berhibur,” katanya lagi.

Tambah Mohd Radzi, tiga suspek lelaki dan tiga suspek wanita itu, yang negatif ujian saringan air kencing, direman selama lima hari bermula Jumaat lalu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berbeza, Mohd Radzi memaklumkan, polis turut berjaya menumpaskan satu lagi kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di Mak Mandin, Butterworth, dekat sini.

Pada operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, pihaknya merampas 1.39 kg serbuk MDMA, ketamin (3 g), pil Ekstasi (2 g) dan pil Erimin 5 (4.5 g) yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM70,080. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.