JV Korea Selatan OCIKUMHO keluarkan ECH di Sarawak, pertama di Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Ogos : OCIKUMHO Sdn Bhd, usaha sama antara OCIM Sdn Bhd dan Kumho P&B Chemical Inc yang berpangkalan di Korea Selatan, akan mengeluarkan bahan epiklorohidrin (ECH) di Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak yang juga projek ECH pertama di Malaysia.

OCIM adalah unit firma Korea Selatan, OCI Company.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pengeluaran ECH di Malaysia akan memperkukuh nilai rantaian pengeluar epoksi di Korea Selatan dan Malaysia.

ECH merupakan sebatian yang banyak digunakan dalam pengeluaran resin epoksi selain dapat menampung keperluan pasaran tenaga bersih seperti angin, solar, pengedaran elektrik dan menjadi salutan perlindungan.

Ia turut digunakan dalam industri, automotif dan pembungkusan selain sebagai komposit dalam industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata projek dengan potensi pelaburan melebihi RM760 juta itu merupakan satu pemangkin yang tidak hanya mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi ramai rakyat negara ini, tetapi turut membantu membangunkan industri tenaga bersih.

“Malaysia bertuah dapat menjadi lokasi bagi syarikat-syarikat global seperti OCIKUMHO dan memudahkan usaha mereka bagi meninjau peluang dalam sektor-sektor ekonomi kita.

“Ini akan memberi manfaat kepada negara dari segi mewujudkan peluang perniagaan baharu bagi syarikat-syarikat bahan kimia yang dapat menyokong dan memperkukuh ekosistem industri di Malaysia berikutan terdapatnya penawaran ECH itu,” katanya dalam kenyataan bersama MIDA dan OCIKUMHO, hari ini.

Pengeluaran itu akan menghasilkan kapasiti sehingga 100 kilotan setahun (ktpa).

Pembangunan kemudahan itu akan dimulakan pada suku pertama 2023 dengan operasi pengujian pada suku pertama tahun berikutnya.

“Kehadiran OCIKUMHO di Malaysia akan menyumbang kepada pasaran eksport Malaysia kerana syarikat itu akan mengeksport 95 peratus daripada produknya di sini ke pelbagai negara di serata dunia.

“Kilang yang menggunakan bahan mentah berasaskan bio (glycerin) dan memanfaatkan tenaga hidro di Sarawak juga adalah yang pertama mengeluarkan ECH di Malaysia.

“Projek ini dijangka dapat mewujudkan 40 peratus peluang pekerjaan di peringkat pengurusan, teknikal dan penyeliaan,” kata MIDA. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.